Followers

Wednesday, June 10, 2009

PKR MaHu JaDi 'PaLiNG DeMoKRaTiK' Di MaLaYSia.....


PKR akan mengadakan kongres nasional khas Sabtu ini untuk membincang dan meluluskan tujuh usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Naib presiden yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan, R Sivarasa berkata, semua usul tersebut akan dibincang dan diluluskan dalam kongres khas sehari itu yang akan membabitkan perlembagaan parti.

Katanya, jawatankuasa tersebut ditubuhkan Oktober tahun lalu dan telah mengumpulkan maklum balas daripada negeri-negeri berhubung cadangan pindaan tersebut.

Sivarasa berkata, usul-usul tersebut adalah amat penting dalam memperkukuhkan amalan demokrasi dalam parti itu.

Ahli mencecah 300,000

Kongres tersebut akan berlangsung di pusat konvensyen, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Kajang, bermula jam 8 pagi.

Setakat ini, kata Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang, PKR mempunyai kira-kira 300,000 ahli di mana keahliannya mencecah kira-kira 10,000 setiap bulan.

Sehubungan itu, katanya, PKR akan meminda sistem pemilihan parti untuk membolehkan ahli biasa di semua peringkat dalam parti memilih pucuk pimpinan.

"Ia adalah untuk menunjukkan komitmen untuk reformasi dalam parti.

"(Pindaan) dapat membantu menghapuskan kecenderungan yang kurang sihat seperti politik wang dan amalan cawangan hantu, seperti yang dilihat dalam parti politik lain di Malaysia.

"Sekiranya ia diluluskan, PKR akan mencatat sejarah sebagai parti politik pertama memberi hak kepada ahli untuk memilih pucuk pimpinan parti," katanya lagi dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam kongres khas itu, Sivarasa berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sokongan dua pertiga daripada perwakilan untuk menghadkan tempoh seorang presiden.

Katanya, tempoh tersebut dicadangkan hanya dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun.

Sistem pemilihan


Berhubung tentang sistem pemilihan dalam parti pula, PKR akan mengadakan pemilihan yang bebas dan akan menginstitusikan amalan undi sulit dalam parti.

"Ini adalah untuk memperkukuhkan amalan demokrasi dalam parti," katanya.

Sehubungan itu, kata Sivarasa, pihaknya bercadang untuk menggunakan dakwat kekal, sebagai satu usaha untuk menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan berjalan dengan lancar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan yang berkaitan dengan umur dalam AMK, Sivarasa berkata, pelaksanaannya akan berkuatkuasa serta merta bagi semua jawatan yang dilantik.

Bagaimanapun, pemilihan tahun depan, masih menggunakan had umur 40 tahun kerana atas sebab-sebab teknikal dan dijangka bakal dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya tahun 2013.

Mengenai memberi peruntukkan kepada wanita sebanyak 30 peratus untuk memegang jawatan dalam parti, beliau berkata, setahunya, tidak ada parti di Malaysia yang memberi komitmen sebesar itu kepada wanita.

Ganti istilah

"Pindaan struktur pimpinan dalam parti dibuat kerana PKR benar-benar mahu mejadikan sebuah parti yang bersifat nasional," kata Sivarasa sambil menambah PKR kini mempunyai sebanyak 190 bahagian termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengenai pertukaran nama bahagian kepada cabang dan cawangan kepada ranting, Sivarasa berkata, pertukaran tersebut bertujuan untuk menggantikannya dengan istilah yang lebih "progresif dan saksama".

"Kita mahu menjauhkan dari istilah yang diungkit sebagai mempunyai unsur struktur tradisional atau struktur feudal," katanya.

Menurut Sivarasa, PKR juga akan meminda perlembagaan bagi menambah jawatan naib presiden, kepada tujuh orang.

Setakat ini, PKR mempunyai lima orang naib presiden.

PKR menjangka kira-kira 2,500 perwakilan akan menghadiri kongres khas tersebut.

No comments:

Post a Comment