Followers

Wednesday, September 9, 2009

uPaCaRa KoNVoKeSYeN KoMeMoRaTiF USM.....


Kebawah D.Y.M.M. Al-Sultan Almu'tasimubillahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi , mantan Perdana Menteri Malaysia akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dan Doktor Pendidikan di atas sumbangan besar yang telah diberikan mereka terhadap penubuhan USM dan pembangunan ilmu di negara ini.

D.Y.M.M. Sultan Kedah dan mantan Perdana Menteri ini bakal menerima penghormatan tersebut di Upacara Konvokesyen Komemoratif USM pada hari Rabu, 9 September 2009, jam 9.09 pagi di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Selain itu, Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Hj. Salleh yang juga penerima Anugerah Akademik Negara 2008 akan turut diberi penghormatan anugerah Profesor Emeritus di majlis yang sama.

Menurut Prof. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor USM dijangka akan mengurniakan ijazah-ijazah tersebut di majlis berkenaan dan Upacara Konvokesyen Komemoratif ini adalah bersempena Sambutan ke-40 USM pada tahun ini.

“D.Y.M.M. Sultan Kedah memainkan peranan dari sudut penubuhan USM. Baginda telah mengurniakan Cokmar USM, lambang tertinggi universiti sewaktu Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1972. Selain itu Baginda turut giat dalam usaha-usaha membantu golongan terkebawah selaras dengan inisiatif yang sedang dijalankan oleh pihak USM yang sedang memberikan tumpuan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berkait rapat dengan mereka yang berada di dalam kelompok ‘the bottom billion’ ini.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi pula dipilih menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan sebagai mengiktiraf ketokohan dan sumbangan beliau di dalam mencorakkan pembangunan pengajian tinggi negara. Beliau telah memberikan perhatian khusus bagi mewujudkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang sebelum ini disatukan dengan Kementerian Pelajaran di bawah nama Kementerian Pendidikan. Tun Abdullah juga bertanggungjawab di dalam penghasilan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang antara lain menggariskan keperluan mencari universiti-universiti terbaik di negara ini menerusi program khas Pemacuan Kecemerlangan atau APEX seperti yang sedang diusahakan oleh USM,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, USM turut ingin mengiktiraf ketokohan Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Hj. Salleh yang cukup terkenal di dalam usaha pembangunan dan pengembangan sastera Melayu ke seluruh pelusuk dunia menerusi hasil kajian dan penulisan beliau yang kini menjadi sumber rujukan masyarakat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, USM merasakan beliau wajar diberi penghormatan kesarjanaan Profesor Emeritus di atas sumbangan besar beliau. Karya beliau diterjemah kepada pelbagai bahasa dunia ini adalah pengiktarafan yang kita rasakan cukup besar kepada seorang ahli sarjana tempatan,” kata beliau.

Dalam majlis yang sama, D.Y.M.M. Tuanku Canselor dijangka akan turut melancarkan kereta yang enjinnya diubahsuai untuk penjimatan tenaga yang telah menjuarai Pertandingan Perodua EcoChallenge selain turut melancarkan perkhidmatan Unit Rawatan Bergerak Institut Penyelidikan Pergigian Termaju dan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM dengan disaksikan oleh D.Y.M.M. Sultan Kedah, T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan mantan Perdana Menteri Malaysia.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan Upacara Penanaman ‘Kapsul Masa’ USM yang dijangka akan dibuka semula dalam satu acara khas 50 tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment