Followers

Sunday, July 26, 2009

YaSMiN aHMaD MeNiNGGaL DuNia.....


Pengarah filem dan iklan yang terkenal Yasmin Ahmad, 51, telah meninggal dunia setelah dilaporkan tenat awal malam ini.

Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya sendiri, diumumkan dalam berita tengah malam TV3 sebentar tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara, lapor Bernama, yang memetik pengesahan daripada ketua pegawai operasi Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di situ.

Khamis lalu, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital swasta itu setelah diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang di stesen TV3.

Beliau waktu itu berada di Sri Pentas untuk berjumpa dengan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suaminya Datuk Khalid Jiwa apabila beliau dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas dan pengsan.

Siti Nurhaliza, duta Persatuan Bulan Sabit Malaysia, dilaporkan turut memberikan bantuan penafasan (CPR) kepada Yasmin bersama dengan seorang doktor panel stesen tersebut.

Di hospital pakar itu, para doktor dilaporkan berjaya menstabilkan beliau sebelum membuat pembedahan otak kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Dikenang Kerana Kehebatan Sentuhannya

Yasmin Ahmad, yang meninggal dunia malam tadi, akan dikenang kerana setiap sentuhan karyanya, baik dalam filem mahupun
iklan, begitu sinonim dengan garapan yang penuh dengan elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang disampaikan cukup bersahaja berlatarbelakangkan masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah filem dan iklan terkenal itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara di sini kira-kira 11.25 malam selepas menjalani pembedahan Khamis lalu setelah diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan di peringkat antarabangsa bagi karya-karya kreatifnya.

Isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industry pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehinggalah memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett kini.

Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya, lapor Bernama.

Tidak keterlaluan sekiranya ramai yang akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri September ini.

Sering dipuji sebagai pengarah iklan, nama Yasmin bagaimanapun cukup kontroversi di arena pefileman tanah air berdasarkan keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.

Anugerah Filem terbaik

Malah tidak sah jika filem nukilan Yasmin tidak dikritik kerana sejak filem pertamanya Rabun pada 2003, filem-filem lain arahan Yasmin iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), turut menerima nasib sama.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sudut berbeza sehingga beberapa filem beliau termasuk Sepet diangkat untuk memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Asli Terbaik pada Pesta Filem
Malaysia 2005.

Filem Sepet juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.

Filem Gubra pula memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakonlayar Terbaik diPesta Filem Malaysia 2006.


Filem Muhsin mencatat kejayaan dengan mengungguli Generasi kplus - Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.

Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia - Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.

Selain memenangi anugerah antarabangsa, filem arahan Yasmin banyak menerima pujian dan kritikan daripada masyarakat serta mendapat liputan media tempatan dan luar negara yang meluas.

Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di Festival Filem Cannes yang memberi peluang kepada Yasmin untuk terus menghasilkan filem yang dikatakan mempunyai identiti tersendiri.



SuMBeR: MaLaYSiaKiNi

1 comment:

  1. sama2 kita sedekahkan al-fatihah kpd roh beliau.......

    ReplyDelete